KUANTAN – Langkah-langkah yang lebih ketat mungkin dilaksanakan di daerah ini sekiranya penularan wabak Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, situasi penularan pandemik Covid-19 di daerah ini membimbangkan yang menyaksikan ibu negeri itu merekodkan kes tertinggi di Pahang hari ini dengan 135 kes baharu selain kemunculan kluster baharu iaitu Kluster Menara Jalan Putra.
“Empat hari sebelumnya pun turut menunjukkan bilangan kes positif baharu yang tinggi di daerah Kuantan berbanding seluruh Pahang iaitu 38 kes daripada 77 kes pada 10 Mei; 40 kes daripada 85 kes pada 11 Mei; 39 kes daripada 63 kes pada 12 Mei dan 22 kes daripada 56 kes pada 13 Mei.
“Selain itu sudah terdapat empat lokaliti dalam daerah Kuantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baharu yang masih berkuatkuasa bermula 5 Mei sehingga 18 Mei,”katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, maklumat-maklumat yang diperolehi mengenai keadaan semasa pandemik Covid-19 di Kuantan sangat membimbangkan.
Katanya, berkali-kali saranan telah dikeluarkannya sebelum ini berhubung keperluan mematuhi nasihat dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan namun wabak tersebut masih belum lagi reda
“Saya sekali lagi merayu agar rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”ujarnya. – K! ONLINE