fbpx

Jumpa mayat hampir putus lengan dalam semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi mangsa minum bersama rakannya sebelum diserang lapan lelaki bersenjatakan parang di Taman Desa Maju di Langkap, semalam.

TELUK INTAN – Mayat seorang lelaki ditemukan dengan lengan tangan kanan hampir putus di dalam semak di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam pada pukul 9 malam.

Katanya, ketika dijumpai, mangsa yang merupakan penganggur dan beralamat di Kampar itu masih lengkap berpakaian.

“Kejadian berlaku pada pukul 6.45 petang di sebuah kedai kosong ketika mangsa sedang minum bersama tiga rakannya sebelum mereka didatangi lapan lelaki menaiki dua kereta yang kemudian menyerang menggunakan parang.

“Mangsa dan tiga rakannya melarikan diri dari lokasi kejadian namun dikejar suspek sehingga ke kawasan belukar berhampiran tapak pembinaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa maut akibat ditetak manakala dua rakannya cedera di mana masing-masing putus tiga jari tangan kiri dan cedera pada lengan tangan kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa berusia 25 dan 19 tahun yang parah telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan.

“Berdasarkan temubual rakan mangsa berusia 32 tahun yang berjaya melarikan diri, lima daripada lapan suspek yang menyerang mereka adalah orang yang dikenali.

“Kesemua suspek datang dengan menaiki dua buah kereta di mana sebuah daripadanya merupakan kereta jenis Proton Iswara berwarna putih,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI