TAMPIN – Sudahlah terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, penghuni di 70 buah rumah di Felda Jelai 4, diuji dengan dugaan banjir kilat seawal pukul 4 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, banjir kilat berkenaan berlaku susulan limpahan air sungai yang tidak mampu menampung aliran air dari hujan lebat di kawasan berkenaan.
“Aliran air di permukaan kawasan lokasi yang terlibat tidak dapat mengalir keluar dengan lancar berikutan paras air sungai yang tinggi.
“Setakat ini, semua agensi di peringkat daerah antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam telah turun padang bagi membantu mangsa banjir kilat berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini tadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said berkata, susulan kejadian berkenaan, bilik gerakan sementara dibuka di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jelai 4 di buka bagi membolehkan warga emas dan anak kecil ditempatkan di lokasi berkenaan sementara menanti banjir kilat surut.
Menurutnya, kejadian berkenaan merupakan kejadian kali kedua yang berlaku tahun ini di mana kejadian kali pertama berlaku sebelum sambutan bulan ramadan membabitkan 40 buah rumah.
“Kali ini lebih banyak rumah penduduk yang terjejas dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menguruskan bantuan makanan buat mangsa banjir.
“Malah kerja-kerja pembersihan juga akan dilakukan segera selepas banjir kilat separas setengah meter surut dengan bantuan jabatan, agensi penyelamat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meringankan beban mangsa banjir. – K! ONLINE