fbpx

Dakwaan polis kompaun penduduk tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang tular mendakwa polis mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 kepada tetamu di Kuantan semalam.

KUANTAN – Polis menafikan pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 kepada tetamu di sebuah taman perumahan di daerah ini kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sempena hari raya pertama, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dakwaan itu adalah tidak benar kerana kehadiran anggota polis di situ adalah bagi melakukan pemantauan pematuhan SOP.

“Terdapat penyebaran dan perkongsian video dan gambar mengenai kehadiran anggota polis dan ia sebenarnya adalah bagi mendapatkan maklumat mengenai beberapa buah motosikal yang kebetulan berada di satu lorong di taman perumahan berkenaan.

“Bila kita jalankan pemeriksaan lanjut didapati ia bukan aktiviti beraya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sejak petang semalam, beberapa video pendek berdurasi tujuh saat dan gambar tular melalui aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran beberapa polis di sebuah taman perumahan di daerah itu.

Kelibat anggota polis dilihat menjalankan pemeriksaan terhadap kereta dan motosikal yang terdapat di taman perumahan itu.

Penularan video dan gambar itu menyebabkan warga netizen mendakwa kompaun RM25,000 dikeluarkan pihak polis kepada pemilik kediaman tersebut dan kompaun RM5,000 pula dikenakan terhadap tetamu.

Sementara itu mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan ketika Aidilfitri, beliau menjelaskan setakat ini tiada tindakan kompaun dikeluarkan pihaknya.

Bagaimanapun jelasnya, pemantauan pematuhan SOP sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di seluruh kawasan, termasuk taman perumahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI