BEIJING – Seorang pelajar di China dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah dan denda £700 (RM4,054) atas kesalahan memesan makanan percuma dari restoran makanan segera KFC bernilai £6,500 (RM37,654) selepas menemui kesilapan dalam sistem pesanan online, lapor akhbar Metro News UK, semalam.
Xu, 23 memesan sekotak ayam KFC percuma selama enam bulan tanpa bayaran dengan memanipulasi sistem baucar di laman web restoran berkenaan.
Dia turut berkongsi rahsia itu dengan empat rakan yang secara berkumpulan memesan makanan bernilai keseluruhan £15,500 (RM89,788) sebelum kegiatan mereka terbongkar.
Xu memesan makanan tersebut melalui aplikasi telefon KFC yang menggunakan baucar pada bulan April 2018 ketika dia menemui kesilapan teknikal itu.
Antara April dan Oktober tahun itu, dia berjaya menghasilkan baucar makanan percuma tanpa henti dengan menukar aplikasi KFC kepada sebuah syarikat di WeChat iaitu perkhidmatan mesej setara WhatsApp dari China.
Dengan menggunakan kaedah ini, Xu mendapati dia boleh membuat pesanan menggunakan baucar malah ia kekal boleh digunakan tanpa batasan dalam akaunnya.
Xu kemudian menjual sebilangan makanan yang dipesannya dengan harga yang murah kepada rakan sekelasnya.
Rakan-rakannya turut menggunakan kaedah sama bagi mendapatkan makanan percuma berharga antara £1,000 (RM5,791) dan £ 5,200 (RM30,115) setiap satu.
Sebuah mahkamah di Shanghai menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Xu atas kesalahannya manakala penjara 13 hingga 24 bulan dikenakan kepada rakan-rakannya yang turut terlibat dalam skim penipuan ini. – Agensi