fbpx

Lima jari hancur angkara buat mercun guna botol vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangan kanan seorang lelaki hancur selepas terkena letupan mercun buatan sendiri di hadapan rumahnya di Kampung Batu Papan, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Seorang lelaki hilang lima jari tangan kanan selepas mercun buatan sendiri yang menggunakan botol vape meletup ketika dia sedang bermain mercun itu di rumahnya di Kampung Batu Papan di sini semalam.

Kejadian pada pukul 11 pagi itu menyebabkan kelima-lima jari tangan kanan mangsa yang berusia 23 tahun hancur.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai membuat mercun sendiri dengan menggunakan 50 biji mercun bola.

Katanya, lelaki terbabit mengambil kandungan belerang dalam mercun bola itu sebelum memasukkannya ke dalam botol vape kosong.

“Selepas meletakkan sumbu dan membalut dengan botol, mangsa telah nyalakan mercun buatan sendiri dengan menggunakan pemetik api.

“Bagaimanapun, mercun itu meletup sebelum sempat dia membalingnya sehingga menyebabkan seluruh tapak tangan kanan mangsa hancur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Choon Foo, mangsa turut mengalami luka pada bahagian muka dan pecah gegendang telinga.

Katanya, abang ipar mangsa telah menghantarnya ke Hospital Gua Musang sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Kita menerima maklumat daripada pihak hospital, tangan mangsa yang hancur terpaksa dipotong melalui pembedahan segera petang semalam.

“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI