ALOR SETAR – Tiga sekeluarga cedera apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Hutan Kampung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 30 tahun dan dua ahli keluarga berusia 29 dan tujuh tahun.
Dua lagi mangsa berusia lima dan dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.48 petang.
Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian didapati tiga daripada lima anggota keluarga yang menaiki kenderaan jenis Proton Gen-2 mengalami kecederaan akibat kemalangan itu, sementara dua lagi yang berusia lima dan dua tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Seorang wanita berusia 28 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, tiada mangsa yang tersepit dan berjaya keluar sendiri dari kereta terbabit dengan bantuan orang awam.
“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE