KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menyumbangkan dana sebanyak RM100,000 sebagai tanda sokongan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis melalui Tabung Serambi Mekah.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmae Yakob berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada umat Islam di Palestin yang memerlukan bantuan kewangan ketika ini.
“Saya mengikuti perkembangan secara dekat situasi yang dihadapi rakyat Palestin. Perjuangan mereka sudah tentu memerlukan doa dan munajat umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.
“Perjuangan rakyat Palestin juga wajib disusuli dengan infak dan sumbangan daripada kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, perlakuan rejim Zionis bukan sahaja satu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan malah telah melanggari prinsip serta mencabuli dasar hak asasi manusia.
Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada saudara Islam di Palestin boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam Tabung Serambi Mekah 03018010080024 dan hantarkan maklumat melalui WhatApps kepada Mohd. Roshdi Ismail di talia 013-901 5602.
Tambah Ahmad, sumbangan itu dibuka selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 19 Mei dan semoga ia dapat meringankan lagi beban saudara di Palestin ketika ini.
Selain itu, beliau sendiri turut berhasrat untuk memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 melalui Tabung Serambi Mekah tersebut. – K! ONLINE