KOTA BHARU – Pesakit Covid-19 tetap tidak dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri meskipun sudah seminggu menjalani tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin dan
Rawatan Covid-19 (PKRC).
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd Azman Yacob berkata, beliau mengakui ramai pesakit atau keluarga mereka menghubunginya dan meminta izin agar diberi kebenaran untuk pulang ke rumah.
Katanya, mereka merayu agar dapat menjalani perintah kuarantin di rumah sekali gus dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kita sudah membuat keputusan untuk tetap tidak membenarkan pesakit yang berada di PKRC pulang ke rumah sehingga tempoh kuarantin mereka tamat.
“Kita juga bimbang sekiranya menjalani kuarantin di rumah, mereka tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikhuatiri menjangkiti ahli keluarga yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PKRC Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
PKRC Putik mula beroperasi pada 6 Januari lalu dan kini menempatkan seramai 196 pesakit Covid-19 termasuk kanak-kanak. -K! ONLINE