PETALING JAYA – Tema biru kelasi atau lebih dikenali sebagai navy blue dilihat menjadi warna pilihan Aidilfitri yang sekali lagi disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun ini.
Warna tersebut turut mendapat tempat di hati kerabat diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah selain digayakan selebriti seperti Neelofa, Sharnaaz Ahmad dan Mira Filzah.
Menurut pakar warna antarabangsa di Pantone Color Institute, sesuai dengan namanya yang juga dikaitkan dengan warna uniform polis, warna tersebut melambangkan ciri-ciri ketenangan, sikap tegas dan bijaksana.
Rona biru gelap itu dilihat akrab dengan golongan bangsawan misalnya pada zaman Mesir kuno, ia digunakan dalam barang perhiasan dan seramik serta satu-satunya cara untuk menghasilkan warna tersebut ialah melalui kaedah mengikis pigmen warna daripada batu permata.
Tinjauan Kosmo! mendapati warna tersebut menjadi sohor kini menerusi tanda pagar #team raya navy blue di media sosial pada lebaran kali ini.
Seorang pengguna laman Facebook, Azrina Jamaluddin, 38, berkata, tahun ini kali pertamanya keluarganya bergaya sedondon dan tidak menyangka warna baju raya mereka kebetulan sama dengan pilihan insan ternama.
“Kami memang minat warna biru cuma kali ini dapat pakai baju sama dengan suami dan tiga anak. Alhamdulillah walaupun PKP raya tetap rasa meriah dan berpeluang solat di masjid kerana ia diadakan tiga sesi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, seorang netizen bernama Wahida Senawi, berkata, raya tetap memberi makna istimewa meskipun dalam suasana PKP apatah lagi berpeluang menyambutnya bersama insan tersayang walaupun sekadar berkongsi rasa kesyukuran melalui media sosial.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin dari kami sekeluarga,” tulisnya di status Facebook yang mengundang puluhan komen dari keluarga dan rakan-rakannya.
Seorang lagi pemilik akaun bernama Muhd Izwan pula menulis: “Navy Blue Team. Minta ampun salah silap sepanjang persahabatan dan perkenalan. Semoga kita dijauhi dari dendam kesumat”.
Manakala seorang lagi netizen, Khairunnisa Khalid berkata, saban tahun warna biru kelasi menjadi pilihan ramai untuk tema hari raya.
“Siapa pasukan ‘navy blue’ tahun ini, kita ‘geng’,” tulisnya.
Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Samantha Tan, tidak ketinggalan berkongsi penampilannya yang memakai baju kurung Kedah warna tersebut dan berselendang ketika bertugas di Putrajaya pagi tadi.
“Walaupun serba sederhana namun kegembiraan tetap dirasai kerana sahabat dan kenalan semua masih sihat walafiat. Jangan biar Covid-19 menjadi pemisah sesama manusia.
“Tidak kira betapa rindu dan sayang, demi nyawa kita kena terima dengan reda demi melindungi nyawa mereka. Moga diberi peluang ketemu lagi pada 2022,” tulisnya. -K! ONLINE