JITRA – Sebuah lagi pusat saringan Covid-19 bagi Kluster PUI Sivagangga dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Megat Dewa di Kodiang dekat sini hari ini.
Saringan dijangka melibatkan kira-kira 245 penduduk Megat Dewa di Mukim Ah dalam daerah Kubang Pasu.
Tinjauan di pusat saringan itu mendapati orang ramai mula hadir bermula pukul 8 pagi dan jumlahnya semakin meningkat kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Penduduk Kampung Megat Dewa, Roslan Awang Kechil, 51, berkata, dia bersama isteri serta anaknya berusia antara 11 hingga 24 tahun hadir melakukan saringan hari ini.
“Kami datang membuat saringan selepas petugas pejabat kesihatan menasihatkan untuk berbuat demikian apabila rumah individu disahkan positif Covid-19 berada di kawasan Megat Dewa ini.
“Jarak rumah saya dengan individu positif tersebut kira-kira dua kilometer selain dipisahkan Terusan Lana Bulu,” katanya ketika ditemui di SK Megat Dewa di sini hari ini.
Katanya, dia dan keluarga bukanlah kontak rapat dengan individu terbabit tetapi diminta membuat saringan sebagai langkah berjaga-jaga.
“Saya berharap agar penduduk kampung ini tidak dijangkiti Covid-19 seterusnya kawasan Mukim Ah ini bebas daripada Kluster Sivagangga,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk kampung sama, Rahmah Ahmad, 63, dia juga diminta kakitangan kesihatan untuk membuat saringan kerana tinggal di kawasan sama.
“Saya perlu lebih berhati-hati memandangkan usia saya telah lanjut yang mana kurang daya tahan untuk melawan wabak tersebut,” katanya.-K! ONLINE