NILAI – Teknologi canggih pada zaman sekarang amat berguna seperti panggilan video digunakan untuk menghubungi keluarga tercinta bagi mengubat rindu.
Bagi pelajar asasi jurusan Sains Fizikal di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Firdaus Ahmad, 19, berkata, perkara pertama yang dilakukan pada pagi raya ialah membuat panggilan video pada ibunya.
Katanya, dia merupakan salah seorang daripada 52 pelajar USIM yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di universiti berkenaan.
“Saya buat keputusan untuk tidak pulang ini pada saat akhir kerana kakak tidak dibenarkan pulang kerana di kuarantin,” katanya ketika ditemui di Kolej Kediaman Nilam Court USIM, di sini hari ini.
Tambahnya yang berasal dari Bukit Gantang, Perak, kakak yang senang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak dibenarkan pulang kerana masalah kesihatan dan dikuarantin.
“Pada mulanya keluarga tidak bersetuju dengan keputusan saya tetapi selepas dijelaskan kerana bimbang keadaan kakak mereka setuju.
“Saya lebih dekat jika nak dibandingkan dengan ahli keluarga di Perak,” tambahnya.
Bagi pelajar jurusan Syariah dan Undang-Undang, Normasyitah Azhar, 19, berkata, tahun ini merupakan tahun pertama beraya tanpa keluarga.
“Saya rasa lebih berdikari bila raya jauh dari keluarga dan ambil keputusan itu kerana untuk memudahkan urusan pembelajaran.
” Di kampung capaian internet agak lemah susah untuk membuat ulang kaji jadi saya ambil keputusan untuk raya di kolej,” ujarnya.
Seorang lagi pelajar jurusan Perubatan, Pergigian dan Sains, Aiman Haziq Mohammed, 19 berkata, dia bersyukur walaupun tidak dapat pulang beraya tetapi ibunya ada mengirimkan kuih raya.
“Secara jujur suasana tidak sama dan pada saya sambut hari raya dengan keluarga namun norma baharu kita kena terima.
“Perkara paling saya rindu masa hari raya ialah nak tolong mak buat kuih,” jelasnya. -K! ONLINE