PETALING JAYA – Kemeriahan Aidilfitri hari ini tetap dirasai dengan peniaga yang menjual juadah raya tidak menang tangan menyiapkan tempahan walaupun umat Islam bakal menyambutnya dalam suasana berbeza disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengusaha Lemang Daun Lerek Greenwood, Mohd. Arifin Zakaria, 62, berkata, penangan warga kota tidak dapat pulang ke kampung membuatkan dia menerima pesanan bertali arus sehingga dia terpaksa menutup tempahan online yang mencecah 7,000 batang.
Menurutnya, sambutan amat menggalakkan pada tahun ini namun pihaknya hanya mampu membakar 1,000 batang lemang sehari termasuk untuk pelanggan yang membeli secara terus di gerainya di Gombak dekat sini.
“Kami turut menyediakan servis penghantaran dengan caj RM5 hingga RM50 meliputi kawasan Kuala Lumpur dan Selangor dan turut beroperasi pada malam raya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Mohd. Ariffin berkata, sebanyak enam hingga tujuh guni beras pulut seberat 50 kilogram dan 1,000 biji kelapa diperlukan setiap hari untuk membuat lemang bermula dari pukul 10 pagi hingga 8 malam.
“Pada hari biasa, kami ada 10 pekerja namun bilangannya ditambah kepada 40 orang pada musim raya. Harga lemang pula tidak berubah sejak 2016,” katanya yang mendapat bekalan daun lerek daripada Orang Asli di Pahang dan Negeri Sembilan.
“Faktor warga kota tidak pulang beraya ke kampung menyebabkan jualan lemang meningkat 30 peratus pada tahun ini selain promosi di media sosial.
Sementara itu, bagi pemilik Empayar Johan Selera, Abdul Rahman Abdul Jalil, 72, berkata, permintaan terhadap lauk-pauk seperti rendang rusa, itik,ayam dan daging menjelang Aidilfitri meningkat hampir 25 peratus dan akan bertambah pada malam raya.
“Rendang rusa mempunyai peminat tersendiri biarpun dijual agak mahal iaitu RM180 sekilogram disebabkan harga bahan mentah itu yang naik sekali ganda pada musim pandemik ini,” katanya yang memperoleh bekalan daripada penternak di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
Abdul Rahman berkata, permintaan rendang itik mencecah sehingga 40 ekor beberapa hari sebelum Aidilfitri dan dia turut memiliki ladang ternakan itik di Sungai Lui, Hulu Langat untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Istimewanya, itik itu disalai selama dua hingga tiga jam sebelum dibuat rendang bagi memastikan rasanya lebih enak, tahan lama dan berkhasiat kerana kurang berlemak dan berminyak.
Dalam pada itu, pengusaha bahulu cermai, Farafaeeza Zakaria Ansori, 33, pula memberitahu, permintaan terhadap kuih tradisional seperti bahulu sangat menggalakkan sehingga dia terpaksa menolak tempahan yang dibuat pada saat akhir.
Dia yang menjual kuih itu di beberapa lokasi seperti Kelana Jaya, Paya Jaras dan Shah Alam itu turut menggunakan khidmat ejen bagi memasarkan produk tersebut secara meluas di Kuala Lumpur.
“Pada awal Ramadan jualan agak perlahan, namun menjelang hari raya bilangan pelanggan yang datang membeli bertambah. Bahulu yang kami jual rangup di luar lembut di dalam serta mampu bertahan selama satu hingga dua bulan.
“Kelmarin merupakan hari terakhir kami menyiapkan tempahan pelanggan berjumlah 1,000 bekas yang setiap satunya berisi 40 hingga 80 biji bahulu,” katanya. – K! ONLINE