LONDON – Rafael Nadal mengakui dirinya berasa bimbang dan ragu untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan susulan kes pandemik Covid-19 semakin meningkat di Jepun.
Bintang tenis No. 3 dunia tersebut mengambil pendekatan tunggu dan lihat malah tidak mampu memberi keputusan mengenai penglibatannya pada Sukan Olimpik yang membuka tirai secara rasmi pada 23 Julai nanti.
Ketika ini, Jepun juga melanjutkan perintah darurat di Tokyo serta tiga wilayah lain sehingga penghujung Mei ini selepas menyaksikan lonjakan kes Covid-19 di negara tersebut.
Nadal yang pernah meraih pingat emas di Beijing 2008 dan menambah koleksi pingat emas dalam acara beregu di Rio de Janeiro, Brazil lapan tahun kemudian mengakui dia masih belum memutuskan perancangannya ke Tokyo.
“Saya tidak pasti lagi dan sejujurnya saya tidak dapat memberikan jawapan yang terperinci. Saya tidak pernah terfikir untuk terlepas beraksi di pentas Olimpik. Semua orang tahu betapa pentingnya Sukan Olimpik kepada saya.
“Dalam keadaan seperti ini ketika dunia sedang dilanda Covid-19, saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Mari kita lihat apa yang akan berlaku terlebih dahulu.
“Pada tahun sebelum ini, saya sudah melengkapkan perjalanan kalendar perlawanan dan tahun ini berbeza sama sekali,” katanya.
Selain itu, pemain tenis ternama Jepun, Kei Nishikori dan Naomi Osaka turut menyatakan kebimbangan mengenai penganjuran temasya sukan terbesar dunia tersebut berikutan wabak Covid-19. -AGENSI