MANCHESTER – Kapten Manchester City, Fernandinho tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila pasukan itu mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi milik mereka.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu memenangi saingan musim ini selepas pencabar terdekat, Manchester United tewas 1-2 kepada Leicester City di Old Trafford awal pagi semalam.
Kata Fernandinho, dia bangga dengan pencapaian pasukan itu, lebih-lebih lagi saingan kali ini dianggap paling mencabar sejak menyarung jersi The Citizens.
“Saya sangat bangga dan gembira dengan pencapaian pasukan. Liga Perdana adalah saingan yang paling sukar di dunia kerana setiap perlawanan sentiasa mencabar.
“Memenanginya sekali lagi adalah sesuatu yang sangat bermakna untuk saya dan pasukan. Sudah tentu kami puas dengan kejayaan ini,” kata Fernandinho ketika meraikan gelaran Liga Perdana keempat peribadi.
Dia yang memakai lilitan kapten musim ini selepas David Silva meninggalkan pasukan itu berkata, dia bertuah untuk memimpin pasukan itu menjulang gelaran kelima kelab tersebut.
“Satu penghargaan untuk saya memimpin pasukan ini kerana semua pemain sentiasa berjuang dalam setiap perlawanan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan diharapkan ia berterusan,” ujarnya. – AGENSI