PETALING JAYA – Sedang menjalani tempoh kuarantin, pelakon Nadia Brian menyambut hari raya Aidilfitri esok disambut secara sederhana.
Situasi tersebut susulan empat ahli keluarganya iaitu ibu, nenek, adik lelaki dan seorang anak saudaranya disahkan positif Covid-19 pada 9 Mei lalu.
Lebih menyentuh hati, Nadia bersama kakak dan anak saudaranya kini sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Siapa yang tidak sedih terima berita buruk menjelang beberapa hari lagi menyambut raya. Sedih sebab hanya beraya bertiga sahaja kali ini.
“Namun, sebagai orang Islam, perlu juga sambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa, tidak meriah tetapi secara sederhana sahaja.
“Ibu dan nenek yang selalunya jadi orang kuat pada hari raya kini berada di pusat kuarantin manakala saya dan kakak menjalani kuarantin kendiri di rumah. Memang tidak meriahlah raya kami seperti tahun sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis, dia juga tidak melakukan sebarang persiapan raya pada tahun ini.
“Saya memang tak buat langsung apa-apa persiapan untuk raya. Setakat ini kami masak menu mudah sahaja menggunakan bahan memasak yang ada di rumah sebab tak boleh keluar ke mana-mana,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga menitipkan pesanan kepada seluruh umat Islam yang menyambut raya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang musim perayaan.
“Berayalah dengan berpada-pada dan patuh SOP.
“Jangan kerana hendak beraya sakan, anda pula yang dijangkiti Covid-19. Virus ini bukan perkara main-main,” katanya lagi.
Terdahulu, Kosmo! Online pada 9 Mei lalu melaporkan empat ahli keluarga Nadia disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE