SHAH ALAM – Suspek utama yang terlibat dalam pembunuhan rakan kolejnya sebelum ini ditemui mati selepas membunuh diri dengan terjun dari balkoni di tingkat 26 sebuah kondominium di Damansara Perdana, semalam.
Kejadian berlaku pukul 4 petang ketika suspek lelaki berusia 24 tahun membawa pasukan penyiasat ke lokasi kejadian untuk mencari bahan bukti pembunuhan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek yang juga pelajar kolej itu didapati melakukan helah dengan berulang kali memaklumkan terdapat barang bukti di balkoni tingkat tersebut sedangkan tiada apa-apa di situ.
Katanya, suspek semasa kejadian bergari di hadapan kerana menerima lebih 100 jahitan susulan pertelingkahan dengan rakan suspek yang mati sebelum ini.
“Lebih kurang berada empat minit di rumah itu, secara tiba-tiba suspek merentap kedua-dua belah tangan sebelum terus berlari meluru dan terjun dari balkoni tingkat 26 kondominium tersebut.
“Tindakan suspek yang sering membuat helah ke balkoni itu menunjukkan ada niat membunuh diri,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan semasa kejadian suspek berada kira-kira tiga hingga empat meter daripada balkoni itu.
Beliau memberitahu, semasa kejadian pasukan penyiasat yang berada di lokasi kejadian terdiri daripada seorang pegawai kanan dan tiga anggota.
Arjunaidi menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam dengan cuai menyebabkan orang tahanan lari.
Kosmo! semalam melaporkan akibat tidak berpuas hati berkenaan hasil jualan dadah dan masalah hutang kira-kira RM20,000, seorang pelajar sebuah institut pendidikan tinggi (IPT) maut ditikam bertubi-tubi sebelum mayatnya dicampak dari balkoni di tingkat 26 di sebuah kondominium di Damansara Perdana, Khamis lalu.
Mangsa berusia 24 tahun itu disyaki ditolak suspek sebaya sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di tingkat dua bangunan bersebelahan yang sedang dalam proses pembinaan.
Suspek pembunuhan itu kemudiannya ditahan di kawasan letak kenderaan, Bandar Sunway, Subang Jaya pada pukul 4.25 petang, Ahad lalu. – K! ONLINE