fbpx

Kerajaan digesa perkenalkan peraturan kawal selia vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DVPM) menggesa kerajaan agar memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri vape dalam usaha meraih manfaat ekonomi serta membuka laluan bagi membantu perokok berhenti merokok.

Gesaan tersebut dibuat berikutan inisiatif online anjuran DPVM yang memaparkan kisah-kisah rakyat Malaysia yang telah berjaya menamatkan kebergantungan kepada rokok tembakau dengan bantuan vape.

Ketua Penerangan DPVM, Ashraf Rozali berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa ramai perokok di Malaysia yang menjadikan vape sebagai inisiatif untuk berhenti merokok dan mendakwa perkongsian mereka secara online baru-baru ini turut menunjukkan penggunaan vape berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok.

“Terdahulu, keputusan daripada inisiatif ini adalah sejajar dengan kajian global ke atas vape yang membuktikan ia kurang mudarat berbanding rokok dan berkesan membantu perokok berhenti merokok. Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menerima bukti yang menunjukkan vape berkesan membantu perokok berhenti merokok dan mengurangkan risiko kesihatan dengan ketara.

“Mengurangkan kadar merokok ialah isu kesihatan awam penting dan kerajaan perlu mengambil kira peranan yang boleh dimainkan oleh vape untuk mencapai matlamat ini, sebagaimana kerajaan United Kingdom dan New Zealand telah menggunakan vape sebagai strategi untuk mengurangkan kemudaratan tembakau,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebelum ini DPVM juga menerbitkan satu kajian yang melaporkan bahawa industri vape di Malaysia bernilai RM2.27 bilion dan mempunyai ekosistem yang meliputi 3,300 pengeluar, pengimport dan peruncit serta rangkaian pengedaran juga logistik yang berkembang.

“Industri ini semakin berkembang jadi dengan pelaksanaan peraturan komprehensif yang sewajarnya, pakar-pakar ekonomi tempatan meramalkan bahawa nilai pasaran vape akan meningkat kepada RM10 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Mengulas mengenai tindakan sepasang suami isteri memberikan vape kepada anak mereka yang berusia dua tahun baru-baru ini, Ashraf berkata, tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan peraturan diperlukan untuk membendung insiden seperti itu daripada berlaku.

“Peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti ini berlaku. Pendidikan juga diperlukan supaya pengguna tidak menyalahgunakan produk tersebut dengan membenarkan produk tersebut digunakan oleh mereka yang di bawah umur,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI