fbpx

Kalimah Allah hak eksklusif umat Islam – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sallehuddin

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini menitahkan bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam.

Titah baginda, orang bukan Islam sama sekali tidak dibenarkan menggunakan kalimah itu kecuali untuk tujuan yang bukan menyekutukan Allah dengan apa juga ciptaan-Nya.

“Kalimah Allah adalah nama khas kepada Allah (Tuhan Yang Maha Esa), Allah yang tidak melahirkan dan tidak dilahirkan.

“Allah menamakan diri-Nya dengan nama Allah dan Allah ini hanya disembahkan dengan sebenarnya oleh umat Islam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan titah di sini hari ini.

Tegas baginda, beriman kepada Allah merupakan Rukun Iman yang pertama dan adalah akar akidah  bagi umat Islam.

“Islam amat mengutamakan keharmonian dan kepelbagaian anutan, namun isu akidah atau kepercayaan Islam amat tegas dan sama sekali tidak boleh mencerobohi sempadan beragama,” titah Sultan Kedah.

Baginda bertitah, demi meneruskan kesinambungan keharmonian sejagat tanpa mengira agama dan bangsa setiap lapisan rakyat di Kedah, baginda menyeru seluruh anak bumi Kedah bertuah ini agar segera berhenti daripada membahas dan berdebat apatah lagi mengusik kesucian kalimah Allah.

“Ia seperti dikanunkan mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa di negeri ini,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan isu kalimah Allah itu jika tidak ditangani dengan berhati-hati akan membawa pemusuhan sekali gus menggugat kestabilan negeri.

“Perlu diingatkan jika isu kalimah Allah ini tidak ditangani dengan penuh berhati-hati di bawah suluhan wahyu dan kedaulatan undang-undang, beta amat bimbang di penghujungnya seluruh manusia akan terperangkap dalam pertikaman lidah dan permusuhan yang tiada berkesudahan,” titah baginda.

Jelas baginda, saranan itu berpandukan perintah Allah dalam surah Al-Taha ayat 14 selain daripada peruntukan di bawah Seksyen 9 Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kedah 1988 yang jelas memperuntukkan antara beberapa kalimah yang hanya boleh digunakan oleh orang Islam adalah kalimah Allah.

“Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang diwartakan pada 21 April 2020 turut memutuskan bahawa penggunaan Lafzul Jalalah iaitu kalimah Allah hanya khusus dan eksklusif untuk umat Islam sahaja.

“Sekali lagi sebagai Ketua Agama Islam Negeri Kedah, semua pihak hendaklah akur dan taat akan titah beta ini demi memelihara kesucian kalimah Allah dan ketenteraman awam,” titah baginda.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI