BATU PAHAT- Dua rakan maut selepas basikal jenis elektrik dinaiki mereka melanggar sisi kanan sebuah lori di Kilometer 125 Jalan Johor Bahru-Melaka di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Ho Hee Kiong, 66, bersama rakannya yang belum dikenal pasti identiti maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Menurut beliau, dalam kejadian pukul 8.45 itu, kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa yang keluar dari persimpangan dilaporkan telah melanggar bahagian sisi kanan sebuah lori yang berada di jalan utama dari arah Batu Pahat menuju ke Tanjong Laboh.
“Kedua-dua penunggang basikal ketika itu keluar dari simpang Jalan Sena untuk menghala ke Tanjong Laboh namun telah merempuh sebelah kanan bahagian lori yang berada di jalan utama.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa maut dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat manakala pemandu lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ketika kejadian, keadaan jalan lurus serta cuaca baik.
Ismail turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutamanya bagi penunggang basikal elektrik yang perlu mematuhi undang-undang di bawah Kaedah 42 LN 166/59. – K! ONLINE