JAKARTA – Pemerintah Indonesia mengumumkan harga bagi suntikan vaksin Covid-19 yang ingin dibeli secara persendirian oleh rakyat adalah sekitar 1 juta rupiah (RM290) bagi dua dos suntikan, lapor Suara.com, kelmarin.
Menteri Koordinator Bidang Ekonomi, Airlangga Hartato mengumumkan harga tersebut adalah bagi pembeli vaksin daripada pihak swasta.
Program vaksinasi swasta adalah inisiatif pemerintah Indonesia untuk memberikan vaksin kepada rakyat dengan kerjasama syarikat swasta sebagai penyalur bekalan.
“Harga bagi satu dos suntikan vaksin adalah 375,000 rupiah (RM108) dan pembiayaan bagi proses suntikan sekitar 125, 000 rupiah (RM36) hingga 500,000 rupiah (RM145),” kata Airlangga ketika sidang media maya di Istana Negara.
Pelalian Covid-19 memerlukan dua dos suntikan maka untuk pengambilan lengkap, mereka yang berminat perlu membayar sebanyak 1 juta rupiah.
Tambah Airlangga, jenis vaksin yang digunakan dalam program vaksinasi swasta yang disebut sebagai vaksin gotong-royong di Indonesia adalah jenis Sinopharm.
Setakat ini, bekalan vaksin yang tersedia adalah 500,000 dos daripada 7.6 juta dos yang tertakluk dalam kontrak vaksinasi swasta.
Airlangga berkata, program vaksinasi swasta dijangka bermula hujung bulan ini dan menjamin bahawa semua vaksin yang digunakan sudah mendapat kelulusan Badan Pengawalan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia. – Agensi