LABUAN – Seorang lelaki melalui detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Dewan pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, pemandu berusia 31 tahun berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan tindakan pantasnya menyedari MPV dipandu mengeluarkan tanda amaran.
Mangsa dikatakan sedang memandu kenderaannya sebelum menyedari lampu kecemasan pada papan pemuka kenderaan menyala secara tiba-tiba.
Pemilik kenderaan terbabit kemudiannya melihat asap keluar daripada bahagian sisi kiri tayar hadapan kenderaan sebelum dia keluar menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa sempat meletakkan kenderaannya di sisi jalan sebelum keluar menyelamatkan diri sebaik menyedari kejadian itu.
“Bagaimanapun, MPV berkenaan gagal diselamatkan ekoran musnah sepenuhnya.
“Kita tiba di lokasi pada pukul 11.15 pagi dan mendapati pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha memadamkan kebakaran.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat yang boleh dikaitkan sebagai punca kebakaran ini.
Menurut beliau, kes akan dirujuk kepada pihak bomba untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar. – K! ONLINE