LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap pemain sayap, Willian terus menampilkan aksi terbaik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.
Pengendali dari Sepanyol itu menyuarakan kegembiraan selepas Willian menjaringkan gol pertamanya bersama The Gunners ketika menang 3-1 ke atas West Bromwich Albion kelmarin.
Justeru, beliau menggesa Willian meneruskan aksi cemerlang itu bagi membawa pulang tiga mata ke Stadium Emirates ketika berdepan bekas pasukannya itu nanti.
“Memang kami tagih aksi terbaik daripada Willian kerana semua orang tahu apa yang dia mampu lakukan. Dia sudah biasa bermain pada tahap tertinggi sebelum ini.
“Bagaimanapun, kami masih belum dapat menyaksikan kemampuan sebenar Willian musim ini. Bagaimanapun, kami percaya dia akan kembali temui sentuhan sebenar tidak lama lagi,” kata Arteta.
Sebagai rekod, jaringan ke atas West Brom merupakan gol pertama Willian dalam 37 perlawanan bersama Arsenal selepas menyertai pasukan itu dari Chelsea tahun lalu.
Dia mungkin mampu menambah koleksi jaringan itu sekiranya mampu meledak gol ketika berdepan Chelsea yang pernah menjadi ‘rumahnya’ selama tujuh tahun. – AGENSI