fbpx

Sambutan raya Aidilfitri tetap diraikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlan bersama Nordini melihat pakaian yang dibeli untuk digayakan pada 1 Syawal ketika ditemui di Taman Minang Ria, Cheras baru-baru ini

PETALING JAYA – Kehadiran 1 Syawal yang disambut esok tetap dinantikan oleh jutaan umat Islam di seluruh negara walaupun negara masih dibelenggu penularan pandemik Covid-19 sehingga memaksa kerajaan me­laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun wujud keterbatasan pergerakan terutama kekangan untuk meneruskan tradisi balik kampung, rata-rata yang ditemui menyuarakan rasa teruja dan semangat mereka untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri mengikut norma baharu buat tahun kedua berturut-turut.

Bagi mereka, apa sekalipun dugaan yang dihadapi, nostalgia sambutan Aidilfitri yang dianggap sebagai hari kemenangan bagi umat Islam perlu diteruskan.

Di Cheras, Kuala Lumpur, seorang peniaga, Ramlan Abu Kasim, 54, dan isterinya, Nordini Mohd. Yusof, 54, tidak menjadikan PKP sebagai alasan untuk ‘melenyapkan’ semangat Aidilfitri yang menjadi perayaan pa­ling dinantikan setiap tahun.

Baginya, tiada sebab untuk dia dan ahli keluarga berduka sekali pun tidak pulang ke kampung halaman di Kampung Tebat, Alor Gajah, Melaka.

“Sedih memang sedih apabila tradisi balik kampung dan berkumpul bersama adik beradik tidak dapat dilakukan. Namun, kami sekelurga tetap bersyukur kerana anak-anak yang tinggal berhampiran masih ada untuk meraikannya secara bersama,” katanya ketika ditemui di Taman Minang Ria, Cheras baru-baru ini.

Di Klang, Selangor, empat beranak dari Bandar Botanik dekat ini tetap bersemangat menyambut ketibaan 1 Syawal dengan menyediakan dekorasi rumah selain kuih raya pelbagai jenis.

Jurutera swasta, Nurayuni Mohamad Tahir, 33, berkata, persiapan itu bagi menghilangkan kerinduan pulang ke kampung halaman di Ipoh susulan pelaksanaan PKP.

“Ini kali kedua kami beraya di Klang selepas turut tidak pulang ke kampung pada tahun lalu.

“Mahu atau tidak, raya tetap raya dan suasana itu harus diwujudkan. Jadi, nostagia itu tetap ada walaupun dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, pasangan kembar seiras yang juga pensyarah pusat pengajian tinggi swasta, Mohd. Hilmi Mahmud, 35, dan adiknya, Mohd. Zaid mempunyai cara tersendiri untuk meraikan Aidilfitri.

Biarpun meraikannya dalam keadaan pandemik, dua beradik yatim piatu itu masih bersemangat dan tidak sabar untuk menantikan kehadiran hari bersejarah bagi umat Islam esok.

“Tahun ini, kami tetap membuat persiapan menyambut hari raya dengan masing-masing membeli lima pasang persalinan termasuk baju Melayu sedondon serta membuat lima jenis biskut raya,” kata Mohd. Hilmi yang berasal dari Kedah.

Menurut Mohd. Hilmi, Aidilfitri tahun ini tetap diraikan biarpun kerinduan menziarahi pusara ibu dan ayah serta beraya di kampung halaman semakin terasa.

“Ini merupakan tahun kedua kami beraya sebagai anak perantau ekoran perlaksanaan PKP.

“Hendak menangis kuat-kuat pun sudah tiada gunanya kerana perlu akur dengan arahan kerajaan,” jelasnya.

Di Kota Tinggi, Johor, seorang warga emas di Felda Simpang Waha di sini tetap mahu menjadikan Syawal tahun ini penuh bermakna meskipun tidak dapat disambut bersama ke­semua anak-anaknya.

Mis Thaman, 64, berkata, pelbagai persiapan telah dibuat termasuklah membeli lebih 10 jenis kuih raya sebagai persiapan untuk menanti kehadiran anak cucunya apabila rentas daerah dibenarkan kelak.

“Bagi saya, Syawal perlu diraikan. Memang sedih anak-anak tak dapat balik walaupun mereka tinggal di Johor Bahru sahaja.

“Bagaimanapun, kami perlu reda kerana ini semua adalah untuk kebaikan bersama,” katanya yang akan meraikan Syawal kali ini bersama tiga daripada sembilan anaknya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI