fbpx

LTAT umum dividen 3.5%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aset LTAT di bawah pengurusan setakat hujung tahun lalu berjumlah RM9.6 bilion.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan dividen sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, lebih tinggi berbanding 2.5 peratus yang dibayar pada 2019.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan dicapai LTAT tahun lalu, dalam persekitaran mencabar berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pergolakan ekonomi serta turun naik pasaran.

“LTAT turut terkesan dengan dividen lebih rendah yang di­terima daripada syarikat-syarikat pelaburan tahun lalu, namun masih mampu mengisytiharkan peningkatan dividen berikutan untung bersih lebih tinggi mencecah RM229 juta berban­ding RM92.8 juta pada 2019.

“Saya dimaklumkan faktor penyumbang utama kepada keputusan lebih baik ini adalah kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi melalui Pelan Transformasi LTAT.

“Ia membolehkan Tabung mencatatkan peningkatan keuntungan tertahan RM287.5 juta selepas bayaran dividen berjumlah RM310.7 juta, berban­ding dengan keuntungan tertahan berjumlah RM63.5 juta pada 2019,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan semalam.

Sehingga 31 Disember 2020, aset-aset LTAT di bawah pengurusan berada pada paras RM9.6 bilion.

Ismail Sabri berkata, LTAT akan terus memperkasakan prospeknya melalui pelan transformasi yang sedang digiatkan, bertumpu kepada pengukuhan dan pengimbangan semula portfolio pelaburan selain menambahbaik struktur orga­nisasi, pengurusan risiko, amalan tadbir urus korporat serta pembangunan sumber manusia.

Tambahnya, Tabung kini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasinya, yang mana 41 dan 53 inisiatif masing-masing berjaya dilaksanakan pada 2019 dan 2020 manakala tambahan sebanyak 77 inisiatif lagi akan dilaksanakan tahun ini.

“Saya juga sedia maklum bahawa Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik LTAT telah diluluskan oleh Lembaga pada November 2020, dengan matlamat untuk memberi pulangan jangka panjang optimum dengan tahap risiko yang bersesuaian.

“Pada 2021, Tabung telah memulakan proses penstrukturan semula portfolio pelaburannya secara berperingkat, dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap serta mempertingkatkan pelaburan ekuiti awam,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI