fbpx

Nad Zainal raya dalam pantang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD ZAINAL

SEPERTI yang diketahui aktres terkenal, Nad Zainal selamat melahirkan cahaya mata keduanya pada 30 Mac lalu.

Kehadiran anak perempuan yang diberi nama Budi Kalsom itu menjadi pelengkap keluarga kecil Nad Zainal dan suaminya selepas dikurniakan cahaya mata sulung lelaki, Fahad Ibrahim, kini berusia lima tahun.

Masih dalam fasa berpantang, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidini, 30, ketika ditemui di Bazar Aidifitri Che Salmah di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur baru-baru sempat berkongsi perkembangan terkininya.

HIBGLAM: Boleh Nad kongsikan sedikit perkembangan terkini selepas melahirkan cahaya mata kedua pada 30 Mac lalu
NAD ZAINAL: Saya masih dalam proses berpantang sehingga Aidilfitri nanti. Seperti yang diumumkan sebelum ini, saya melahirkan anak kedua saya, Budi Kalsom secara pembedahan.
Alhamdulillah anak berada dalam keadaan baik begitu juga dengan saya.
Kalsom juga tidak banyak ragam seperti abangnya, Fahad. Mungkin sebab Kalsom perempuan. Fahad pun nampak gembira bila dia dapat seorang adik perempuan.
Kadang-kadang dia akan bertanya bila si adik mahu menjadi besar sebab dia tidak sabar untuk bermain bersama-sama.
Tapi sikit-sikit ada juga sifat cemburunya pada adik. Kalau si adik kena puji, dia pun mesti nak pujian juga. Biasalah anak-anak.

NAD ZAINAL mengamalkan diet yang agak ekstrem untuk mengembalikan berat badan asal ialtu 47 kilogram.

Bagaimana anda menjaga bentuk tubuh supaya kelihatan langsing dan anggun selepas melahirkan cahaya mata kedua?
Sama seperti ibu lain, saya juga melakukan kaedah berpantang dan mengikut petua orang tua-tua selepas bersalin.
Selepas bersalin, berat badan saya ialah 65 kilogram (kg). Sasaran saya untuk mendapatkan semula berat badan asal saya iaitu 47kg.
Dalam diet pemakanan, saya banyak ambil sayur-sayuran, kurangkan pengambilan karbohidrat dan tidak mengambil makanan yang bukan-bukan.
Apa yang paling penting sebenarnya ialah disiplin sendiri. Cara saya berpantang memang ekstrem sehingga tiada selera untuk makan. Mungkin terlalu penat.

Bilakah anda akan kembali bekerja dan menjalani penggambaran?
Kalau ikutkan saya akan kembali bekerja pada penghujung Mei nanti, tetapi saya masih berkira-kira sama ada mahu mengambil kerja tersebut atau tidak.
Kalau boleh, saya mahu usia Kalsom empat bulan ke atas, baru saya akan mula bekerja semula.
Pada masa sama, saya sebenarnya sudah tidak sabar mahu bekerja semula. Tapi biarlah sehingga Kalsom besar sedikit. Dia pun sekarang ini banyak menunjukkan beberapa karakter melucukan dan saya berasa seronok.

Kes positif wabak Covid-19 di Malaysia semakin merisaukan sehingga mencecah sehingga empat angka. Bagaimana tahap kebimbangan anda tentang perkara tersebut?
Sebagai seorang ibu yang memiliki anak kecil, sudah tentu saya bimbang dengan kes jangkitan Covid-19 yang dilihat masih lagi tinggi.
Jika saya menghadiri mana-mana program, saya akan maklumkan kepada penganjur bahawa saya tidak boleh berada lama dalam majlis sebab ada anak kecil.
Selain itu saya juga akan pastika prosedur operasi standard (SOP) di tempat acara dikawal dengan baik. Seperti biasa, selepas pulang ke rumah, saya akan bersihkan diri terlebih dahulu baru boleh berjumpa dengan anak-anak.
Bercakap tentang risiko, duduk di rumah pun ada risikonya juga bila ada orang datang ke rumah.
Seperti saya, ada beberapa perkara berkaitan kerja telah dipersetujui lebih awal. Jadi, mahu tidak mahu saya kena turun untuk bekerja. Kalau tak keluar nanti, risiko tiada pendapatan pula. Jadi kenalah berkorban.

Bagaimana persediaan anda untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini?
Sama seperti orang lain, saya dan juga suami membuat persiapan Aidilfitri secara sederhana sahaja.
Sesuai dengan situasi dan keadaan semasa yang melanda negara kita. Bila sudah jadi ibu ini, persiapan raya diutamakan untuk anak-anak.
Untuk Kalsom, selepas sahaja mendapat tahu jantinanya, terus saya siapkan pakaiannya termasuk untuk hari raya.

NAD ZAINAL sedang berkira-kira untuk kembali menerima tawaran penggambaran apabila anak keduanya berusia empat bulan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI