SEREMBAN – Polis telah menyerahkan kertas siasatan melibatkan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa dan suaminya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Pusat Perniagaan Nilai 3 kepada Pejabat Peguam Negara hari ini
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kertas siasatan itu dihantar selepas pihak polis telah memperkemas dan melengkapkan siasatan kes terbabit.
“Kertas siasatan kes ini telah kita rujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya hari ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sebelum ini, Mohd. Fazley memberitahu,
siasatan dijalankan memandangkan isu gambar dan video melibatkan Neelofa dan suaminya pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail itu melanggar SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergetakan Bersyarat (PKPB).
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei 2021 (Ahad).
Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai karpet tersebut.
Neelofa sekali lagi menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli karpet dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh nerentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah.
Perkara tersebut mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video dalam InstaStorynya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai karpet.
Dalam video yang dikongsi juga, dia dilihat merakam seorang pekerja dan turut mempromosikan kedai tersebut yang terletak di Nilai 3.
Siasatan sebelum ini dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -K! ONLINE