PETALING JAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sepatutnya menjadi jurucakap tunggal dan diberikan kuasa untuk menasihati kerajaan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Che Hassan Che Johan berkata, dalam hal ini Ketua Pengarah Kesihatan sepatutnya berfikiran lebih terbuka untuk mendapatkan pandangan daripada pihak yang lain.
“Kerajaan jangan mengambil langkah mudah seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri dan juga daerah lain,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah Che Hassan, sektor ekonomi sepatutnya dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata, masyarakat haru sentiasa berwaspada dengan bahaya penularan wabak dan akibatnya serta tidak hanya berharap kepada kerajaan untuk memantau keadaan semasa.
“Jangan ada terma ‘pilih kasih’ kerana penularan virus ini tidak membezakan antara ahli politik, golongan kenamaan mahupun orang biasa dan paling penting program vaksinasi perlu dilakukan dengan lebih cepat dan sistematik,” jelasnya. – K! ONLINE.