PETALING JAYA – Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi pengeluar kereta terlaris di Malaysia, Perodua kembali dengan iklan mencuit hati berjudul ‘Baju Siapa’.
Menggunakan tema keindahan silaturahim, Perodua berusaha menyelami makna di sebalik kesungguhan berbudi kepada insan yang tidak dikenali selain keluarga atau sanak-saudara.
Perodua dalam satu kenyataan berkata, naskhah tersebut mengisahkan bisnes dobi keluarga, Kedai Dobi d’Cuci yang komited serta prihatin dalam memberi khidmat terbaik untuk pelanggan mereka, sekali gus mencerminkan nilai-nilai Perodua #WeGoBeyond.
“Jalan cerita filem ini disampaikan oleh Salmah iaitu anak kepada pasangan pengusaha Kedai Dobi d’Cuci yang amat sibuk menyiapkan cucian pelanggan.
“Namun, sikap dedikasi keluarga itu terserlah apabila mereka menyedari terdapat sepasang pakaian yang tidak dituntut dan pada penghujung filem, penonton dapat menyingkap cerita sebenar di sebalik ‘Baju Siapa’.
Idea iklan tersebut tampil berbeza kerana mengetengahkan aktiviti perniagaan dobi di kawasan kejiranan dengan muzik latarnya diinspirasikan daripada lagu era 70-an hingga 80-an selain turut mendapat penataan vokal dan bunyi-bunyian unik yang antaranya terhasil dari putaran mesin basuh.
Filem pendek hasil kolaborasi antara Spin Communications dan Passion Multimedia Sdn. Bhd. itu tampil pada waktu yang tepat pada musim perayaan kali ini memandangkan ramai di antara kita yang berada jauh dari kampung halaman.
Justeru, ‘Baju Siapa’ dapat menyuntik kesedaran kepada penonton bahawa jiran tetangga ibarat keluarga terdekat pada masa yang sama mengajak penonton meneladani sikap berbudi tanpa mengira waktu demi berkongsi keriangan.
‘Baju Siapa’ boleh ditonton di semua laman media sosial Perodua dengan tayangan berdurasi 90 saat di semua stesen televisyen utama bermula 13 Mei ini. – K! ONLINE.