KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merekodkan rampasan terbesar tahun ini setelah mematahkan cubaan menyeludup masuk mercun dan bunga api bernilai lebih RM1.14 juta termasuk cukai pada 1 Mei lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, kejayaan operasi terbabit adalah hasil penahanan dua buah lori treler yang mengangkut dua buah kontena di Jalan Batu 7 menuju ke Jalan Haji Baki/Batu Kitang semasa aktiviti rondaan Ops Letup 2021.
Difahamkan kedua-dua kontena itu dirancang tiba di Kuching dari Bintulu pada lewat malam bagi mengelak dihidu oleh pihak berkuasa.
“Walau bagaimanapun kontena-kontena tersebut tiba di Kuching lebih awal dan berjaya ditahan oleh pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching.
“Pemeriksaan rapi ke atas kontena tersebut telah menemui mercun dan bunga api pelbagai jenama yang dianggarkan seberat 46.7 tan dengan anggaran nilai berjumlah RM754,152.12 serta anggaran cukai berjumlah RM386,198.88,” katanya pada sidang media di Kawasan Perindustrian Sejingkat di sini, hari ini.
Herman Shah turut memaklumkan bahawa tiga individu berusia dalam lingkungan 44 ke 60 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau juga berkata barangan terbabit dipercayai telah diimport dari China menggunakan permit import yang sah.
“Namun, pengimport dipercayai telah membuat pengikraran yang tidak benar kerana kuantiti mercun dan bunga api yang diikrar adalah tidak sama dengan kuantiti yang diimport dengan tujuan menipu pembayaran cukai.
“Selain itu, terdapat beberapa jenis mercun dan bunga api yang tidak tersenarai dalam lesen import yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya.
Mercun dan bunga api itu dipercayai akan dibekalkan di sekitar Bandaraya Kuching selaras dengan permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan Seksyen 135(1)(g) kerana cubaan mengelak pembayaran cukai secara frod, Akta Kastam 1967.
Sehingga 9 Mei tahun ini, Sarawak telah merampas sejumlah 60.17 tan mercun dan bunga api haram dengan anggaran nilai keseluruhan RM795,076.07 dan jumlah anggaran cukai bernilai RM513,166.87 dalam 15 kes. – K! ONLINE