DECATUR, GEORGIA – Seorang wanita di negeri Georgia, Amerika Syarikat berang apabila berulang kali menjumpai sarang lebah mengandungi sekurang-kurangnya 100,000 ekor lebah di rumahnya, lapor majalah People kelmarin.
Lisa Ohrmundt memberitahu agensi berita CNN bahawa dia menjumpai sarang tersebut di kediamannya bulan lalu selepas ternampak lebah terbang di dalam rumahnya sebelum menghilang.
Syarikat kawalan serangga, Georgia Bee Removal dipanggil ke kediaman tersebut dan mengeluarkan dua bekas penuh berisi lebah.
Ohrmundt mendedahkan, ia bukan pertama kali rumahnya dipenuhi serangga itu.
Sebelum ini, dia sudah membuang lebah di rumahnya sebanyak empat kali sejak berpindah ke situ 14 tahun lalu.
“Pada 2017, kami telah mengeluarkan satu sarang lebah yang sangat besar. Beberapa tahun kemudian, kami mengeluarkan satu sarang lebah yang kecil.
“Sekitar minggu lalu pula, kami mengeluarkan satu lagi sarang lebah yang kecil. Harapnya ini yang terakhir,” kata wanita itu.
Selepas dihurung lebah yang banyak pada 2017, Ohrmundt dimaklumkan oleh jirannya bahawa pemilik kediaman itu sebelumnya juga mengalami masalah yang sama.
Pengarah Operasi Georgia Bee Removal, Bobby Chaison berkata, mereka terpaksa memotong sebahagian siling untuk mengeluarkan lebah-lebah itu.
Chaisson bagaimanapun tidak tahu mengapa lebah-lebah tersebut kembali ke rumah Ohrmundt. – Agensi