Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Polis menahan tiga sekeluarga selepas disyaki mengurung, mendera dan memaksa seorang wanita warga Indonesia bekerja tanpa gaji di sebuah premis kediaman di Pantai Remis dekat sini dalam satu serbuan malam kelmarin.
Ketiga-tiga mereka iaitu seorang wanita dan dua anaknya masing-masing seorang lelaki dan perempuan ditahan dalam serbuan di Taman Desa Pantai 2, Pantai Remis dekat sini pada pukul 8.45 malam.
Dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu telah berjaya menyelamatkan wanita berumur 31 tahun berkenaan yang dikatakan dieksploitasi tiga beranak suspek sejak setahun lalu.
Ketua JSJ Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata mangsa dipaksa bekerja setiap hari dan tidak dibayar gaji sepanjang tempoh itu selain turut dikurung di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa dipukul oleh majikan dan dua anak majikannya itu sehingga cedera.
“Berikutan itu, polis berjaya menahan dua wanita dan seorang lelaki dalam rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Anuar berkata, mangsa dikatakan dihantar oleh seorang ejen untuk bekerja di rumah berkenaan sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, ketiga-tiga suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Mangsa pula dihantar ke rumah perlindungan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – K! ONLINE