fbpx

Rakyat Selangor diminta berkorban amalan berkunjung, pulang kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Negeri Selangor dan di Malaysia amnya.

SHAH ALAM – Rakyat Selangor diminta berkorban untuk tidak meneruskan amalan-amalan lazim Aidilfitri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah ini termasuk pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung, demi mengelakkan wabak Covid-19 daripada terus merebak sehingga sukar dikawal.

Titah Sultan Sharafuddin, baginda amat bimbang dengan angka kes-kes jangkitan baharu dan kematian di Selangor yang semakin meningkat setiap hari.

“Susulan meningkatnya jumlah kes-kes baharu jangkitan wabak Covid-19 yang sangat berbahaya, beta menyeru rakyat jelata agar menyambut hari raya kali ini dalam suasana yang sederhana dan waspada.

“Ini memandangkan Selangor masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri di hantaran laman sosial rasmi Selangor Royal Office.

Baginda turut berpesan supaya rakyat jangan mengambil mudah dengan bahaya wabak ini dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Baginda menegaskan, paling penting setiap individu yang mahu keluar ke tempat awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan khususnya memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa.

“Beta tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak ini dan menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan wabak ini sepenuhnya,” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Negeri Selangor dan di Malaysia amnya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI