PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menjemput beregu campuran, Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying serta pemain perseorangan, Soniia Cheah berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga pemain profesional itu dijemput menjalani latihan berpusat bersama skuad kebangsaan sebagai langkah persediaan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengalu-alukan kehadiran ketiga-tiga pemain berpengalaman tersebut untuk menggunakan segala fasiliti yang ada di ABM demi kejayaan Malaysia di Olimpik Tokyo nanti.
“Saya amat berharap mereka dapat berlatih bersama-sama dan pada masa sama membentuk semangat berpasukan yang kuat antara mereka.
“Di Tokyo nanti, tidak akan ada pemain profesional atau BAM, sebaliknya semua hanyalah sekumpulan pemain badminton yang berjuang untuk membanggakan Jalur Gemilang,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi BAM.
Sebagai rekod, tarikh tutup kelayakan Olimpik Tokyo 2020 adalah 15 Jun depan.
Sehubungan itu, mana-mana pemain profesional lain yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020 mungkin juga akan dijemput menjalani latihan pusat di ABM selepas ini. – K! ONLINE