PETALING JAYA: Penyampai Hot FM , Deen atau Nordin Madian, 33, reda apabila isterinya mengalami keguguran, serentak dengan sambutan Hari Ibu, semalam.
Katanya, paling penting kini adalah menjaga emosi dan kesihatan insan tercinta , Siti Nur Warda Aminuddin,30, yang dinasihatkan berehat selama dua minggu.
“Kandungan Warda masih terlalu awal kerana belum dapat dipastikan berapa minggu, cuma sebelum ini kami sudah ke klinik disebabkan ada tanda-tanda dia hamil.
“Puncanya kami tak tahu tetapi Warda pernah keguguran kali pertama sebelum mengandungkan anak sulung kami. Memang doktor pernah maklumkan dia kena berehat di katil saja pada trimester pertama.
“Dia juga tidak boleh kerja berat atau stress. Semua itu boleh bagi risiko. Semalam selepas menjalani prosedur D&C keadaannya lemah, namun hari ini nampak lebih bermaya,” katanya kepada K! Online
Pada masa sama, pengendali segmen Jam Hot itu lega apabila berpeluang menjaga isterinya sepanjang tempoh pemulihan memandangkan kini dia bertugas dari rumah.
“Pengalaman menjaganya ketika berpantang dulu membuatkan saya sudah sedia untuk singsing lengan. Anak kami, Leia Zarra yang berumur dua tahun lebih pun mudah dijaga.
“Ada hikmah musim pandemik Covid-19 ini saya bekerja dari rumah. Kakak ipar pula tinggal di daerah sama, jadi dia pun tolong tengok-tengokkan Warda,” kongsinya lagi.
Deen dan Warda mendirikan rumahtangga pada Disember 2016.
Ends/