LONDON – Seekor anak paus ditemui terperangkap di sebuah tali air dekat Sungai Thames, London sekali gus mendorong operasi menyelamat dilakukan bagi membebaskannya, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Anak paus minke itu dijumpai di tali air Richmond pukul 7.30 malam (waktu tempatan) kelmarin dan dipercayai terperangkap lebih lama dari itu.
“Kira-kira pukul 7.30 malam, seekor ikan paus kecil berukuran 4 meter (m) ditemui terdampar di tali air Richmond.
“Petugas Pihak Berkuasa Pelabuhan London (PLA) membantu menyiram air pada anak paus tersebut dengan dibantu pasukan Penyelam Penyelamat Hidupan Marin Britain (BDMLR).
“Ia masih hidup dan pihak polis mengawal keadaan bagi mengelakkan orang awam daripada menghampiri tebing tali air,” ujar seorang jurucakap PLA.
Sementara itu, Penyelaras BDMLR, Julia Cable memberitahu saluran berita Sky News bahawa nutrisi anak paus itu berada dalam keadaan tidak baik memandangkan ia tidak berada bersama kawanan paus yang lain.
“Terdapat kerosakan pada bahagian sirip yang menandakan ia mungkin terdampar lebih lama,” katanya.
Anak paus itu kemudiannya dipindahkan ke lokasi lebih selamat apabila air pasang dan akan dibawa menemui doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai kebajikan haiwan tersebut.
Paus jenis minke merupakan spesies paus terkecil yang mampu membesar sehingga panjang 10 m.
Haiwan itu kebiasaannya dijumpai di Lautan Atlantik Utara dan Lautan Pasifik. – AGENSI