fbpx

Murid Tahun 4 trauma dibuli rakan asrama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Aziela Waty menunjukkan kesan lebam di muka anaknya akibat dibuli.

BENTONG – Sudahlah tidak dapat berjumpa dengan anak lebih sebulan akibat Covid-19, hati seorang ibu luluh apabila mendapati anak sulungnya yang berumur 10 tahun pulang ke rumah dengan kesan lebam di muka dipercayai akibat dibuli.

Malah akibat kejadian itu menyebabkan kanak-kanak yang belajar di sebuah sekolah berasrama di daerah ini itu menjadi trauma dan begitu takut kepada pelaku.

Nurul Aziela Waty Abu Khalid, 33, berkata, dia amat terkejut apabila mendapati anaknya yang baru enam minggu dihantar ke sekolah berasrama berkenaan dibuli dengan teruk sehingga terdapat kesan lebam dimuka, luka dibibir dan mengalami trauma.

“Semasa hantar anak ke sekolah saya lihat dia begitu seronok dan sebagai ibu bapa pun seronok juga, selepas enam minggu dan agak lama dia tidak telefon kerana ditegah, kini hati saya hancur melihat keadaan dia yang dibuli, sedangkan dia anak yang baik.

“Apabila sampai di rumah dia hanya menutup muka dan menipu saya mengatakan jatuh katil sebelum bapanya nampak kesan jari dimukanya yang akhirnya dia mengaku dipukul oleh tiga murid kerana menyatakan mereka kejam sebab memukul seorang lagi budak lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, anaknya itu begitu trauma apabila merayu kepadanya dan suami agar merahsiakan perkara itu kerana bimbang akan dipukul lagi pada masa akan datang selain tidak mahu lagi tinggal di asrama.

Dalam pada itu, beliau berkata, anaknya mendakwa ditarik bibir sehingga luka, dihantuk ke dinding dan dipukul di bahagian muka sehingga terjatuh sebelum dipijak oleh murid Tahun Lima dan Tahun Enam Khamis lalu.

Ibu kepada empat anak itu berkata, anaknya mendakwa sebelum ini turut pernah dikurung hampir sejam dalam almari besi yang sempit di asrama sekolah berkenaan oleh murid yang sama.

“Allah hendak selamatkan abang (anaknya) sebab itulah abang balik cepat ke rumah kalau tidak saya tidak tahu apa akan jadi pada anak saya, saya juga risau sikapnya akan berubah kesan daripada perkara ini.

“Saya juga amat kesal dengan penjaga murid yang membuli anak saya kerana bukan sahaja tidak meminta maaf tetapi memarahi kami kerana membuat laporan polis dan menyatakan kami orang luar dan tidak kenal siapa dia,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, telah membuat laporan polis Jumaat lalu dan berhasrat meneruskan tindakan mahkamah terhadap tiga individu yang memukul anaknya.

“Saya bukan orang senang tetapi saya mahukan keadilan dan jadikan pengajaran, ada ramai ibu bapa turut berpakat mengumpul dana bagi membiayai kos guaman,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI