HULU TERENGGANU – Jenazah wanita yang mayatnya ditemukan rentung di kawasan belukar di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Tepoh pada 17 April lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Seramai lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara, kenalan serta penduduk setempat menghadiri pengebumian Che Janiah Jaafar, 55, pada pukul 2.15 petang.
Anak sulung mangsa, Wan Mahisyamri W. Abd. Manan, 39, berkata, meskipun masih bersedih dengan segala yang berlaku namun dia lega jenazah ibunya akhirnya selamat dikebumikan.
“Saya dan ahli keluarga lain lega kerana penantian kami telah berakhir, jenazah ibu selamat disemadikan. Sedih memang sedih, namun kami reda segala ketentuanNya.
“Sekurang-kurangnya pada pagi Aidilfitri ini kami dapat ziarah pusaranya. Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah,'” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Bading di sini hari ini.
Wan Mahisyamri juga berharap pembunuh ibunya akan mendapat hukuman setimpal. – K! ONLINE