KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) akan memastikan seramai 1.1 juta pengguna air di Kelantan menerima bekalan itu secukupnya sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Jabatan Operasi AKSB Mohd. Ashri Awang berkata, jaminan itu diberikan selepas pihaknya mengawal pengeluaran kapasiti bahan mentah itu ketika ini bagi memastikan ia mencukupi menjelang Syawal.
Menurutnya, AKSB menjangkakan masalah bekalan air dapat dikurangkan tahun ini memandangkan kapasiti yang dikeluarkan dari loji bekalan mentah itu mencukupi.
“Peningkatan pengguna juga dijangka tidak akan berlaku secara mendadak seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika mengikut kepada rekod terdahulu, penggunaan air adalah sebanyak satu meter padu bagi satu rumah pada penggunaan normal dan dijangka meningkat kepada 1.2 meter padu semasa musim perayaan.
“Bekalan air kebiasaannya tidak digunakan selama 24 jam. Ia digunakan untuk kebersihan diri, makan dan minum. Sekiranya ada pengguna yang kerap membuat kuih, ia tidak akan memberi kesan kepada bekalan air,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Ashri memberitahu, AKSB turut menyediakan 446 tangki statik dan 30 lori tangki berisi air terawat bagi menampung penggunaaan air di lokasi dikenal pasti yang sering terputus bekalan.
Katanya, lokasi-lokasi itu melibatkan kawasan penghujung di seluruh daerah di Kelantan.
“AKSB akan mengagihkan bekalan air menerusi tangki statik dan lori tangki sebanyak dua atau tiga kali sehari bergantung kepada keperluan pengguna di tempat itu.
“Secara purata harian, sebanyak 520 juta liter air disalurkan kepada lebih 260,000 akaun atau 1.1 juta pengguna di Kelantan,” katanya.-K!ONLINE