SUKAN olahraga sentiasa menjadi penyumbang utama pingat buat kontinjen negara pada Sukan SEA dengan keseluruhan 262 emas, 87 perak dan 97 gangsa sejak acara itu dipertandingkan dari edisi Kuala Lumpur 1965 sehingga Manila 2019.
Bagaimanapun, pencapaian Malaysia merudum dalam tempoh 10 tahun sejak meraih lapan emas pada Sukan SEA Manila 2005 bermula Korat 2007 (tujuh), Vientianne 2009 (enam), Palembang 2011 (lima), Naypyidaw 2013 (empat) dan Singapura 2015 (tiga).
Prestasi ‘yoyo’ terus dipamerkan skuad olahraga negara apabila hanya lima pingat emas dibawa pulang pada edisi Manila 2019, hilang tiga daripada lapan emas yang dimenangi sewaktu penganjuran Kuala Lumpur 2017.
Situasi tersebut mungkin berulang pada edisi seterusnya selepas Majlis Olimpik Malaysia bertekad mahu menghantar lebih ramai atlet muda ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga 2 Disember.
Polisi bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan itu diwujudkan bagi memberi pendedahan awal kepada juara-juara Sukan Malaysia (Sukma) ke kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Sukan SEA.
Ia bermakna pelapis kebangsaan atau atlet bawah umur 21 tahun akan lebih diberi keutamaan dan senior-senior juga masih boleh disenaraikan tetapi dengan syarat mereka wajib membawa pulang pingat emas di Hanoi tahun depan.
Pemenang tiga pingat emas yang juga pemegang rekod lompat kijang Sukan SEA dan kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail berpandangan positif mengenai polisi itu tetapi dalam masa sama menegaskan agar atlet senior tidak dipinggirkan.
“Timbul rasa selesa kalau atlet muda sahaja dihantar dan ini bukan satu perkara yang bagus. Tak salah kalau hantar senior yang terbaik dan seorang atlet muda kerana setiap negara boleh menyenaraikan dua orang dalam setiap acara.
“Kalau ada pelapis yang prestasinya lebih bagus daripada senior, hantar mereka bukan sahaja ke Sukan SEA, malah Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel,” katanya.
Selain Hakimi, antara nama lain yang mungkin tidak dapat menjadikan Sukan SEA sebagai ‘taman permainan’ mereka ialah dua jagoan lompat tinggi, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh Randhawa serta jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.
Andai kata jurang catatan yang dilakukan pemenang pingat emas Sukma terlalu besar dengan Sukan SEA, usahlah kita mengambil risiko berpegang teguh dengan polisi itu, tetapi hantarlah mereka yang benar-benar layak sahaja ke Hanoi.
Bagaimanapun, jika dilihat pada sudut jangka panjang, polisi itu sebenarnya bagus kerana dapat mewujudkan kesinambungan kejayaan diraih selama ini dan pada masa sama merapatkan jurang prestasi antara atlet pelapis dengan senior.
Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd. Manshahar Abdul Jalil mengakui, sudah tiba masanya atlet muda diberikan peluang.
“Mungkin ia boleh menjadi gabungan atlet muda dan senior kalau mereka memang layak ke Sukan SEA. Kalau ia dapat membantu perkembangan prestasi pelapis ke satu tahap lebih tinggi, ia sangat bagus untuk masa depan mereka,” jelasnya.
Apa yang pasti, Kesatuan Olahraga Malaysia perlu mencari mekanisme terbaik untuk mencorakkan kejayaan di Hanoi 2021 sama ada berani menghantar lebih ramai atlet muda demi pendedahan atau seimbangkan dengan penyertaan atlet senior. – K! ONLINE