YAN – Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki yang pertama kali bermain mercun roket berakhir dengan dia cedera pada muka dan tangan akibat disambar api dalam kejadian di Kampung Kuala Sungai Yan di sini, Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Indera Syafiq Ariffin, 9, bermain bunga api dan mercun bersama tiga rakannya.
Menurut Muhammad Indera, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun di hadapan rumahnya.
“Sebelum itu kami hanya bermain bunga api dan mercun bola sebelum seorang kawan mengeluarkan mercun roket ‘thunder clap’ untuk dibakar.
“Saya yang tidak pernah bermain mercun itu teruja melihatnya dan meminta untuk mencubanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, mercun yang dipegang di tangan kanannya itu kemudian dibakar dan dihalakan ke atas.
“Sebaik sumbu mercun itu mula terbakar, kawan-kawan saya menjerit meminta saya melepaskannya.
“Saya bagaimanapun tidak melepaskannya kerana rasa teruja kerana kali pertama bermain mercun jenis itu sebelum tiba-tiba api daripada mercun berkenaan terus menyambar muka dan tangan saya,” ujarnya. – K! ONLINE