fbpx

Jasad Aqim ditemui terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASAD Mohammad Syafiq Mustaqim ditemui anggota bomba di kolam takungan air di Taman Arowana Indah, Seremban hari ini.-Foto IHSAN BOMBA

SEREMBAN – Mayat Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2 dekat sini, kelmarin ditemukan pagi ini.

Ketua Zon Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat, Khair Amir Ahmad berkata, mayat ditemukan pada pukul 7.30 pagi oleh anggota bomba ketika melakukan rondaan di kolam takungan air di Taman Arowana Indah, pagi tadi.

“Semasa rondaan anggota bomba menemui mayat timbul di permukaan air tidak jauh 30 meter dari pintu kunci kolam tebatan banjir yang dibuka semalam. Kami mengesyaki kemungkinan mayat mangsa terbenam di dalam lumpur.

“Kami menemui mayat mangsa dalam keadaan telingkup dalam keadaan tidak berbaju dan seluarnya sudah terlurut. Ketika ditemui muka mangsa dalam keadaan mengelupas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang, Sabtu lalu, mangsa yang mesra dipanggil Aqim oleh ahli keluarganya tergelincir ketika bermain di longkang bersama abangnya yang berusia 10 tahun dan seorang rakan berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa dikatakan tergelincir ketika bermain di longkang tersebut dan sewaktu kejadian, hujan agak lebat dan dipercayai mangsa dihanyutkan air deras.

Sementara itu, menurut Khair Amir, air surut dalam kolam takungan air berkenaan dipercayai memudahkan operasi mencari pagi tadi.

Jelasnya lagi, pihak bomba telah menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kami telah menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat.

“Kami juga telah menamatkan operasi pada pukul 8.30 pagi tadi selepas mayat dijumpai,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI