fbpx

Ada yang tak faham fungsi, istilah media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

“Selepas media masuk dalam keluarga kami, kami tak ada masa untuk masak dan bagi makan untuk anak-anak kami dan masa itu amat sukar untuk kami.”

Begitulah antara ungkapan YouTuber masyhur era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memasuki fasa pemulihan (PKPP), S. Pavitra merangkumkan punca permasalahan bersama suaminya, Sugu berikutan kes polis dan kemarau video memasaknya dalam saluran YouTube Sugu Pavitra.

Dilema Pavithra hanya sebesar kuman di antara berjuta dilema ekoran pandemik Covid-19 yang melanda satu dunia. Tetapi kerana dia ada nilai human interest iaitu antara kriteria dalam berita, kisah Sugu dan Pavithra jadi besar, jadi tumpuan.

Media dipersalahkan, namun sedarkah Sugu bahawa YouTube adalah adik-beradik media zaman ini yang paling berpengaruh, punya kuasa tarikan wang dan glamor setaraf dengan Instagram, Facebook atau TikTok.

Atau dalam fikiran Pavithra, media hanya melibatkan wartawan, blogger, majalah dan orang surat khabar? Jika itu yang dirujuknya sebagai media, maafkan Pavithra.

Dia kurang arif, naif atau emosinya terhimpit tekanan yang bertubi-tubi. Pavithra dan Sugu mungkin tidak sedar mereka sebenarnya lahir kembar bersama media (YouTube).

Jadi sebagai orang media yang arif, rasanya ungkapan Pavithra tidak perlu diendahkan sangat, balas sahaja dengan senyuman. Bukan Pavithra seorang yang begitu, ramai lagi.

Banyak juga kisah lain yang harus media pedulikan. Biarkanlah Pavithra bersama Sugunya membentuk dunia sendiri, tetapi mampukah mereka sampai ke tahap hari ini tanpa media.

Untuk hari-hari esok, jika ada lagi yang menarik tentang mereka, media tidakkan akan lokek berkongsi ruang.

Peribadinya, kembali sibuk selaku orang media bukanlah sesuatu yang terlalu bahagia buat penulis yang sudah hampir sembilan bulan aman damai tanpa istilah garis mati atau dateline pada bila-bila masa.

Bukan seronok sangat pun menulis kesengsaraan orang, lagi-lagi apabila sesuatu isu membengkak dan nanah hanyir yang mula meleleh dilemparkan pula jadi paku buah keras ke muka media.

Apa pun, itu bukan isu besar dalam penulisan sulung penulis selaku Penolong Pengarang Berita, pengkhususan segmen hiburan dalam kehidupan semula Kosmo! ‘2.0’ ini.

Buat penulis, kembali menjadi orang media, itu rezeki.

Makanannya, setiap perkara yang menjadi tumpuan atau dirasakan mampu jadi perhatian, itulah yang dicari.

Seperti akar mencari air (memetik serangkap monolog dalam telefilem Pencipta Pegang Waktu siaran TV3, 31 Julai lalu), itu fitrah media.

Menjadi orang media arus perdana ketika media sosial beraja di mata bersultan di hati juga mengingatkan penulis tentang tajuk sebuah buku di depan api di belakang duri.

Cabarannya sangat besar, untuk seiring kena berlari kencang, untuk ke depan, pastikan tak mati meninggalkan belang.

Untuk salam introduksi, rasanya cukup setakat ini daripada penulis. Selamat berjuang semua!. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI