Malaysia diundi satu kumpulan bersama Indonesia, England, Belanda
SKUAD badminton negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Thomas di Aarhus, Denmark selepas diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, England dan Belanda.
Malaysia turut berpeluang menebus kekalahan kepada Indonesia selepas tersingkir pada suku akhir pada edisi 2018 di Bangkok dengan keputusan 1-2.
Ketua Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan mengakui undian tersebut adalah seimbang dan baik untuk Malaysia bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
“Saya lihat undian kali ini baik untuk Malaysia kerana kebiasaan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya, jadi kita sekurang-kurangnya perlu menang ke atas England dan Belanda.
“Bagaimanapun, sudah tentu kita mahu mara ke peringkat kalah mati sebagai juara kumpulan kerana ia akan membantu Malaysia bertemu dengan pasukan lebih mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jurulatih dari Indonesia itu turut menyuarakan kebimbangan sekiranya saingan Piala Thomas terpaksa ditunda lagi ke tahun depan gara-gara pandemik Covid-19 yang masih belum pulih.
Katanya, jika keadaan itu berlaku, ia mungkin memberi tekanan kepada semua pemain memandangkan banyak kejohanan penting akan turut berlangsung pada tahun depan.
“Sekarang banyak kejohanan dibatalkan, jadi saya harap Piala Thomas ini akan diteruskan. Apa pun yang berlaku, kita akan buat persiapan terbaik.
“Kalau dilihat dengan keadaan sekarang, agak sukar sebenarnya untuk dianjurkan tetapi BWF serius mahu memastikan Piala Thomas dilangsungkan,” ujarnya.
Sementara itu, skuad Piala Uber pula menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia. – K! ONLINE