PELUMBA negara, Adam Norrodin menampilkan tunggangan mantap sebelum menamatkan perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal CEV Moto2 di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol di tempat ketiga sebentar tadi.
Ia adalah podium kedua berturut-turut buat pelumba pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing itu apabila dia turut menamatkan perlumbaan di Litar Estoril, Portugal bulan lalu di kedudukan ketiga.
Pada perlumbaan di Ricardo Tormo itu, Adam memastikan kedudukan di podium apabila tampil cemerlang untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 14 minit 43.890 saat.
Pelumba pasukan Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Fermin Aldeguer muncul pemenang pada perlumbaan itu sementara rakan sepasukannya, Alonso Lopez di tempat kedua.
Sebagai rekod, Adam adalah antara pelumba negara yang pernah beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) menerusi kategori Moto2 dan Moto3. – K! ONLINE