SUNGAI PETANI – “Nanti kita keluar beli baju raya sama-sama untuk kenangan terakhir kita.”
Demikian pesanan yang dihantar Mohd. Nasir Rodzuki, 33, kepada isterinya, Nor Fatehah Othman, 29, menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dia ditemui lemas di Sungai Kota Kuala Muda di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Mohd. Nasir terjatuh ke dalam sungai selepas disambar petir ketika sedang memasang pukat bersama seorang rakannya kira-kira pukul 4 pagi semalam.
Menurut Nor Fatehah, dia menerima WhatsApp daripada suaminya itu ketika berada di tempat kerjanya, dua hari lalu.
“Arwah berhasrat nak bawa saya dan dua anak iaitu Jannatul Sofea, 7, dan Raahatul Aadima, 3, membeli baju raya di pekan Sungai Petani.
“Namun begitu, kami belum sempat keluar bersama memandangkan masing-masing sibuk bekerja sehingga kejadian tersebut menimpa suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Katanya, arwah sebelum ini kelihatan bersemangat untuk menyambut raya dan sering bercakap tentang persediaan baju raya.
“Arwah juga sudah memakai sehelai baju kemeja raya yang dihadiahkan oleh ibunya untuk ke bazar Ramadan beberapa hari sebelum kejadian,” ujarnya. – K! ONLINE