fbpx

Tiada lagi nasihat, terus kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi (dua kanan) mendengar keluhan seorang peniaga ketika membuat tinjauan pematuhan SOP di Bazar Aidilfitri, Jalan TAR semalam.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih tegas apabila menambah lokasi sekatan jalan raya (SJR) di bebe­rapa negeri ekoran kedegilan orang ramai yang masih ingin pulang ke kampung bagi me­nyambut Aidilfitri ketika kes po­sitif Covid-19 semakin meninggi.

Lebih parah apabila polis mengesan beberapa taktik dan alasan tidak munasabah yang diberikan oleh orang ramai ketika membuat permohonan merentas negeri atau semasa ditanya di SJR oleh anggota polis bertugas semalam.

Antara alasan yang diberi termasuk hadir majlis tahlil 40 hari arwah saudara, hendak bawa saudara mara sakit ke hospital, terlupa minta tandatangan dan cop Ketua Balai Polis pada surat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, terdapat juga yang sengaja melalui SJR ketika waktu hujan lebat atau petir bagi mengelak pemeriksaan.

“Biasanya bila berlaku hujan lebat atau petir, petugas SJR tidak dibenarkan berdiri atau membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang lalu lalang atas faktor keselamatan.

“Jadi kesempatan itu diambil orang ramai untuk meloloskan diri tanpa perlu diperiksa surat rentas daerah dan negeri,” ujar­nya ketika dihubungi Kosmo!.

Penghadang jalan plastik yang dibakar disyaki oleh individu tidak bertanggungjawab yang dipasang di laluan tikus di Kampung Gong Lapang semalam pemberita.- Azli Adlan

Selain itu, katanya, terdapat juga pengguna melalui SJR tanpa mengemukakan sebarang surat kebenaran dengan harapan dapat melepasi pemeriksaan atas dasar ihsan.

Dalam pada itu, tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak akan berkompromi de­ngan mana-mana golongan orang kenamaan (VIP) atau selebriti yang gagal mengemukakan surat rentas negeri.

Polis juga mengesan peningkatan ketara kereta hendak memasuki negeri dalam tempoh PKP dan larangan merentas daerah di seluruh negara mulai hari ini hingga 6 Jun.

Ekoran itu, ribuan kereta telah diarahkan berpatah balik ketika hendak memasuki beberapa ne­geri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang kerana gagal memberikan alasan munasabah ketika ditanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ramai memberikan alasan terpaksa rentas negeri dari Selangor ke Kuala Lumpur kerana balik kerja.

“Ada juga yang beri alasan mahu ambil anak di terminal pengangkutan. Jika alasan munasabah dan ada surat kebenaran kita beri pelepasan,” katanya.

Di Negeri Sembilan, polis akan menambah sembilan lagi SJR melibatkan kawasan bersempadan antara negeri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya akan tambah sembilan lagi SJR menjadikannya 24 di semua jalan utama sempadan negeri Pahang, Selangor dan Melaka.

Di Kangar, Perlis, seorang wanita berusia lingkungan 50-an dikompaun RM5,000 kerana menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, wanita itu menaiki teksi dari Selangor dikatakan hendak ke Kelantan, namun telah melencong dengan cuba menyeberangi sempadan Thailand pada pukul 8.20 pagi.

Di Kelantan, Ketua Polis ne­geri, Datuk Shafien Mamat ber­kata, sebanyak 1,060 kenderaan telah diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri.
“Mereka mengatakan ada kematian dan kecemasan, namun tidak ada surat kebenaran. Ada juga pemandu memalsukan surat untuk merentas negeri,” katanya.

Di Terengganu, polis mengesan ada pihak yang menggunakan dokumen merentas negeri yang sudah luput tarikh.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, mereka yang dikesan cuba menipu itu telah diarah berpatah balik dan lapan daripadanya telah dikompaun RM5,000 seorang.

Tambahnya, pihaknya mempunyai cara tersendiri untuk mengesan mereka yang lolos dan tumpuan akan diberikan ke atas kediaman yang mempunyai khemah, banyak kenderaan, kasut atau selipar di halaman rumah.

Di Johor Bahru, polis menolak 464 permohonan merentas negeri dan daerah atas pelbagai alasan tidak munasabah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara alasan yang diberi ialah mahu pulang berhari raya dan rindukan keluarga.

Di Pahang, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan teliti di semua SJR termasuk di Bentong, Kuantan dan Cameron Highlands.

“Ia bagi memastikan orang ramai yang masuk ke Pahang mempunyai surat rentas negeri,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI