PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca mendung di seluruh negara dengan kemungkinan hujan di negeri pantai barat Semenanjung serta barat Sabah pada sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, hujan juga kemungkinan akan turun di negeri Johor serta Melaka pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang pula dijangka hujan di kawasan pedalaman negeri-negeri pantai timur Semenanjung.
“Secara keseluruhannya, dijangka keadaan cuaca yang serupa berlanjutan hingga raya ketiga.
“Keadaan itu berlaku kerana Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan dan ribut petir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jailan berkata, cuaca di negara ini akan bertambah baik menjelang pertengahan bulan ini susulan permulaan fasa Monsun Barat Daya.
“Kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan ketika Monsun Barat Daya.
“Namun akan berlaku hujan lebat pada awal pagi di pantai barat Semenanjung akibat garis badai dari Selat Melaka sekali sekala,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, mulai pertengahan bulan ini juga kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter (mm) hingga 350mm kecuali di Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit, iaitu bawah purata antara 100mm hingga 150mm.
“Kuching, Samarahan, Sri Aman, Bentong, Sarikei dan Sibu di Sarawak dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 150mm hingga 200mm manakala di Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150mm hingga 400mm.
“Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm,” tambahnya.
Beliau juga membayangkan kemungkinan Malaysia akan dilanda jerebu rentas sempadan pada hujung Julai atau awal Ogos jika kebakaran hutan di negara jiran tidak terkawal. – K! ONLINE