fbpx

Kedah bawa pulang tiga mata berharga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHERMAN (kanan) muncul wira Kedah apabila meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Sabah di Stadium Likas sebentar tadi. - Foto Ihsan Kedah Darul Aman FC

MESKIPUN terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang becak susulan hujan lebat, namun ia tidak menghalang Kedah Darul Aman FC untuk menewaskan Sabah FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman muncul wira Helang Merah apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-79 dalam aksi yang terpaksa ditangguhkan hampir sejam disebabkan hujan lebat dan padang bertakung.

Sebagai rekod, ia adalah gol kesembilan buat penyerang berusia 29 tahun itu bersama Kedah dalam 13 perlawanan Liga Super musim ini.

Kejayaan itu membolehkan Kedah kembali ke landasan kemenangan selepas terdahulu mencatat kekalahan tipis 0-1 kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Selasa lalu.

Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut juga berjaya menamatkan rekod cemerlang Sabah yang sebelum ini tanpa kalah dalam lima perlawanan terakhir sejak tewas 1-4 kepada JDT pada 6 April lalu.

Tiga mata bermakna itu membolehkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak tersebut kembali merampas tangga kedua Liga Super dengan 26 mata, dua mata mengatasi Terengganu FC yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Aksi Liga Super selepas ini akan berehat panjang selama dua bulan sebelum saingan kembali bersambung pada 9 Julai depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI