BENTONG – Permintaan baju Melayu berwarna putih untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan menjadi petanda mangsa kemalangan, Muhamad Afiq Nazmi Abdullah, 10, akan pergi buat selama-lamanya.
Ibu mangsa, Nurfaralisha Nordin, 28, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu membuat permintaan tersebut pada malam sebelum kejadian dia dilanggar treler kelmarin.
“Saya masih ingat dia beritahu tahun ini mahu beraya pakai baju Melayu berwarna putih.
“Dia mengajak ke Temerloh hari ini (semalam) untuk membeli baju kerana saya cuti. Itulah permintaannya yang tidak dapat saya lupakan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Chamang di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari kelmarin, Muhammad Afiq maut dalam keadaan mengerikan selepas digilis sebuah treler membawa muatan kayu balak di Kilometer 1, Jalan Bentong-Karak di sini.
Ketika kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal bersama ibunya dari arah Bentong ke Benus di sini.
Motosikal itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard menyebabkan mangsa tercampak sebelum digilis treler, namun ibunya tidak mengalami kecederaan parah.
Mengulas lanjut, Nurfaralisha memberitahu, Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana berbeza kerana ketiadaan arwah yang merupakan seorang anak yang ceria dan periang.
Cerita wanita itu, ketika kejadian, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dalam perjalanan pulang ke rumahnya ketika waktu rehat untuk mengambil barang.
“Sekiranya tidak ke sekolah, saya akan membawa Muhamad Afiq ke tempat kerja. Kebetulan hari itu (kejadian) Sekolah Kebangsaan Sulaiman ditutup disebabkan penularan Covid-19.
“Biasanya saya meninggalkan dia pondok keselamatan sekiranya keluar pada waktu rehat, namun semalam (kelmarin) dia menangis mahu ikut bersama,” katanya.
Nurfaralisha berkata, selepas tercampak dalam kemalangan itu, dia cuba bangun untuk menarik anaknya, namun tidak sempat berbuat demikian.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tampil memberikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Datuk Jasvir Singh Ram Singh.